Wednesday, February 25, 2009

KISAH CINTA EPL 2

Setelah hampir 3 bulan tempoh perkahwinan mereka, baru kali ini mereka berkesempatan untuk meneruskan niat berbulan madu di Eropah. Ayunie amat berharap perancangan kali ini menjadi. Sudah beberapa kali tertangguh disebabkan kesibukan masing-masing. Sekilas, dipandang Fahmi yang tekun menatap laptop, mungkin menempah tiket penerbangan untuk mereka berdua.
“Abang tempah tiket flight ke?,”
“Em, dah. Abang dah tempah semalam. Sekarang ni, abang try tengok ada match ke tak waktu kita pergi Old Trafford nanti. Manalah tahu kan, untung-untung boleh tengok diorang main kalau ada harga tiket murah,” Fahmi ralit mencari. Tangannya cekap melarikan tetikus ke sana sini.
“Tak ada match langsung waktu kita nak pergi tu,” tanpa memandang Ayunie, Fahmi memberitahu.
“Betul ke tak ada?”
“A’ah, tak ada. Abang dah cari banyak kali. Banyak website dah abang masuk. Waktu kita nak pergi tu memang tak ada match kat stadium. Dua-dua tak ada, Anfield dengan Old Trafford. Kita pergi melawat stadium saja ya,”
“ Boleh percaya ke abang ni? Ayu baru tengok minggu lepas. Takkan dah habis,”
“Ayu salah tengok kot,”
“Tak, Ayu pasti. Tepi sikit, biar Ayu yang carikan,” Ayunie menolak perlahan bahu suaminya, menyuruh suaminya bangun. Dalam terpaksa Fahmi mengalah, perlahan dia bangun dari kerusi, membiarkan Ayunie mengambil alih tempatnya. Habislah dia!
“Em, Ayu dah lupa page mana yang Ayu masuk sebelum ni. Kenapa susah pulak nak cari hari ni,” Ayunie merungut. Dia telah memasuki beberapa laman web, tetapi tetap tidak menjumpai apa yang dicarinya.
“Ha, kan abang dah kata. Ayu tak nak percaya,”
“Em, website ni pun tak ada jugak. Biasa kat sinilah kalau nak tengok ada match ke tak. Serious Ayu lupa. Mana satu ye?,” Ayunie masih mencari. Dia tidak akan berputus asa.
“Memang tak adalah Ayu. Betul, abang dah lama dah duduk kat sini tadi. Banyak page dah abang masuk, tapi tak ada pun cakap pasal match tuh,” Fahmi menambah. Dia harus meyakinkan isterinya bahawa memang tiada perlawanan yang akan berlangsung di Anfield waktu mereka ke sana.
“Yalah. Memang tak ada. Betullah kot, Ayu salah tengok,”
“Ha, kan abang dah cakap,”
“Eh, sekejap,” Fahmi cuak. Alamak dia jumpa ke?
“Inilah website yang Ayu jumpa minggu lalu, pasal match dekat Anfield. Waktu tu memang kita kat sana,”
“Oh, ya ke? Macamana pulak abang boleh terlepas pandang ni. Banyak kali dah cari tadi, tak jumpa pula page ni. Bagus la Ayu, jumpa cari benda ni,” Fahmi menunduk, lalu mendekatkan mukanya ke skrin laptop. Pura-pura tekun menilik baris-baris ayat yang terpampang di skrin.
“Ada match rupanya,”dia menambah lagi. Ayunie mengalihkan pandangannya, tepat ke muka suaminya. Fahmi perasan akan tindakan isterinya.
“Kenapa pandang abang macam tu?,” Ayunie tidak menjawab soalan suaminya. Dia masih lagi merenung suaminya. Dia yakin, Fahmi tahu tentang website tersebut. Ada saja akal suaminya supaya dia tidak dapat tengok perlawanan tersebut. Fahmi mula tidak senang duduk. Pantas dia menegakkan badan.
“Serious abang tak perasan website ni,”
“Abang jangan nak bohong Ayu. Ayu kenal abang dah lama, bang. Dah lebih 5 tahun. Ayu tahu macamana reaksi abang kalau ada yang tak kena,”
“Eh, Ayu ni. Nak fitnah abang pula. Mana ada. Abang ni sangat jujur orangnya. Takkan buat sesuatu yang tak baik. Keji betullah siapa yang buat perangai macam tu. Iskh, iskh,” Fahmi meneruskan lakonannya.
“Ayu takkan tertipu kali ini,” Ayunie bertegas. Saja mahu menduga tindak balas suaminya. Tiba-tiba Fahmi mencium T-shirt dibadannya sendiri.
“Ya Allah! Baru abang teringat. Abang belum mandi lagi. Dah nak dekat maghrib dah pun. Patutlah bau semacam je. Abang rasa baik abang pergi mandi dulu, nanti lambat pula ke surau,” pantas Fahmi bergerak ke tempat penyidai tuala, ditarik tualanya lalu masuk ke dalam bilik air. Ayunie hanya menggeleng. Suaminya itu sangat bijak mencari alasan untuk melepaskan diri. Sekilas dijeling jam di dinding. Lagi 5 minit ke pukul 6 petang. Nak dekat maghrib? Suaminya ingat mereka berada di Sarawak ke Mahgrib pukul 6 lebih? Biasanya, suaminya cukup liat untuk mandi petang. Fahmi tidak akan bergerak ke bilik air, selagi jarum jam belum menghala ke angka 7. Ayunie tersenyum. Macam-macam fiil suaminya itu. Kadang-kadang perlakuan Fahmi tak tercapai dek akal fikiran. Nak kata kanak-kanak, dah besar panjang dah pun. Sudah lebih 3 tahun suaminya berkerja sebagai engineer di salah sebuah syarikat Jepun yang mempunyai cawangannya di Malaysia. Ayunie akui, memang suaminya bagus jika melibatkan kerja, sangat-sangat bagus, sampaikan makan minum pun suaminya boleh lupa jika terlampau sibuk dengan kerja. Tapi, perangai suka mengusik Fahmi tetap tidak berubah, kadang-kadang melebihi perangai kanak-kanak. Walaupun begitu, Ayunie tidak pernah sedikit pun malu dengan Fahmi. Malah, dia merasa bangga punya suami seperti Fahmi. Ceria sentiasa rumah tangganya.

Ayunie teringat kembali, waktu mereka sibuk membeli barang-barang untuk dijadikan hantaran perkahwinan mereka lebih 4 bulan yang lalu. Dia dan Fahmi telah sepakat untuk membeli barang-barang itu bersama-sama. Waktu itu, sakit betul hatinya dengan perangai Fahmi.

“Ala, bolehlah Ayu,” Fahmi memujuknya.
“No!,” tegas Ayunie menjawab.
“Bolehlah. Abang tak nampak apa masalahnya,”
“Tak ada masalah abang cakap? Pernah ke abang tengok orang letak benda tu kat atas dulang hantaran? Abang jangan nak malukan Ayu,” Ayunie mula bengang. Dipandangnya Fahmi yang masih memegang kasut bola jenama ADIDAS berwarna hitam berbelang merah itu. Ada ke patut nak letak kasut tu atas dulang hantaran perkahwinan? Tak pernah dibuat dek orang. Salah makan ubat ke Fahmi ni?.
“Tak boleh ke?,” Fahmi bertanya lagi, sambil menayangkan muka kesiannya. Ayunie dah faham benar dengan reaksi sebegitu. Nak minta simpati la tuh. No way, man! Dia kena guna pendekatan reverse physicology dengan Fahmi ni. Cakap elok-elok bukannya nak faham. Akhirnya setelah hampir sejam, mereka keluar kedai tersebut dengan dua pasang kasut. Dua-dua untuk Fahmi. Sepasang kasut kulit warna hitam untuk hantaran, dan satu lagi kasut bola jenama ADIDAS. Senyum panjang Fahmi selepas tu. Tak faham betul dia. Sampai di rumah keluarga Fahmi, tergelak besar mereka mendengar Ayunie menceritakan kisah yang berlaku di kedai kasut itu.

“Kalau macam tu senanglah kerja Ayu. Tak perlu susah-susah nak pikir letak apa kat atas dulang. Letak je semua peralatan bola. Satu dulang letak sepasang jersi Man U, dulang kedua hiaslah kasut bola. Dulang-dulang lain tu letaklah stoking, guard, bola sepak, banyaklah lagi. Senang sangat kalau nak cukupkan 11 dulang tu,” kakak Fahmi memberikan cadangan. Ayunie hanya tersenyum. Haru hidupnya kalau itu betul-betul yang berlaku.
“Kamu nak macam tu Fahmi?,”kakaknya menambah lagi.
“Boleh, boleh. Saya lagi suka. Tapi akak tengoklah muka orang kat sebelah saya ni. Ada rupa Incredible Hulk tak?,” Fahmi merujuk kepada Ayunie disebelahnya. Serentak, bergema ketawa di ruang tamu banglo dua tingkat milik ibu Fahmi. Ketawa mereka masih bersisa, namun terhenti bila mendengar Fahmi mengaduh kesakitan. Dan jelas di pandangan mereka, Ayunie berdiri mencekak pinggang sambil memegang diari tebal berkulit keras, merenung tajam ke arah Fahmi yang tengah galak menggosok lengannya. Berbirat! Lantas, ketawa mereka bergema kembali.

*****

Hari ini, sudah hampir sepuluh hari mereka berada di Eropah. Antara tempat yang telah mereka lawati ialah Eiffel Tower di Perancis. Mereka merakamkan pelbagai gaya berlatar belakangkan menara cinta tersebut. Juga, mereka sempat melawat Disneyland di kota Paris. Selepas itu, mereke berangkat ke Andalusia untuk melawat Al-Hambra. Sungguh kagum dia melihat tinggalan Islam di negara Sepanyol itu. Tidak lupa, tempat yang paling terkenal dengan lautan tulip, Amsterdam adalah satu kemestian. Dan 2 hari lepas, mereka sampai ke destinasi terakhir, United Kingdom dan telah melawat beberapa tempat menarik di kota London. Pagi tadi, mereka bertolak dari rumah adik Fahmi di Loughborough ke Manchester, dan terus menuju ke Old Trafford. Sewaktu mereka menyewa kereta, mereka meminta untuk disertakan bersama Tomtom, sejenis alat penunjuk arah. Dengan itu mereka tiada masalah untuk sampai ke tempat yang hendak dituju.

Tiada perlawanan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh seminggu ini di Old Trafford. Oleh itu mereka hanya berpeluang untuk melawat stadium itu sahaja. Dengan bayaran 8£ seorang, mereka dibenarkan masuk ke stadium. Banyak aksi-aksi yang dirakamkan, terutamanya Fahmi. Kagum dia dapat melihat sendiri stadium kelab yang menjadi pujaan hatinya. Mereka melihat senarai-senarai pemain yang pernah bersama Manchester United, juga mereka sempat bergambar dengan poster-psoter pemain, disamping piala-piala yang dimenangi. Di sana, Fahmi teringin untuk membeli jersi Christiano Ronaldo, tapi dia membatalkan hasratnya. Hati Ayunie perlu dijaga. Dia cukup bersyukur Ayunie sanggup mengikutnya ke Old Trafford. Sudahnya, mereka hanya membeli beberapa utas key chain untuk dijadikan kenang-kenangan. Selepas itu mereka bergegas ke Liverpool yang hanya memakan masa selama sejam dari Manchester, dan mereka akan bermalam di sana.

Di Liverpool, mereka menginap di Express Holiday Inn, berdekatan dengan John Lennon Airport. Perjalanan dari hotel ke Anfield mangambil masa lebih kurang 20 minit, bergantung kepada keadaan trafik, dan mereka telah mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat teksi ke Anfield bagi mengelakkan masalah untuk meletak kenderaan.

Tepat jam 7 malam, mereka bergerak meninggalkan hotel menuju ke Anfield. Ayunie suka melihat teksi di sana, kerana ianya sangat unik. Mereka menggunakan kereta-kereta lama untuk dijadikan teksi. Setelah hampir setengah jam dalam perjalanan, akhirnya mereka tiba di Anfield. Ayunie cukup teruja melihatkan stadium yang tersergam itu. Sungguh megah baginya. Macho! Stadium pun macho ke? Ayunie tergelak dalam hati. Dia kemudiannya melangkah ke arah gerai-gerai yang berderet menjual pelbagai barangan LFC. Ayunie tertarik melihat muffler scarf berwarna merah, putih, yang mempunyai lambang LFC. Dia berniat untuk membeli, pantas matanya mencari kelibat Fahmi. Dilihatnya, Fahmi hanya berdiri di satu sudut sambil melihat orang sekeliling. Rasa bersalah timbul di dalam hatinya. Kesian dia melihat suaminya itu, datang ke situ semata-mata kerana menurut kemahuannya. Lantas skarf tersebut diletakkan kembali ke tempat asalnya. Ayunie berjalan di sekitar stadium tersebut. Gembira sungguh dia, akhirnya impiannya tercapai untuk menjejakkan kaki di Anfield.

Berlainan dengan Fahmi, dirasakan jiwanya tidak tenang. Libang-libu hatinya. Dapat dilihat, Ayunie telah melangkah ke arah stadium. Di depan pintu stadium, Ayunie berhenti, menunggunya.

“Bismillahirahmannirrahim”. Perlahan Fahmi mengungkapkan kalimah suci itu. Dalam hati, dia berdoa semoga Allah tetapkan hatinya. Janganlah nanti dia berpaling tadah menyokong LFC pula. Tapi dia agak pasti, bukan mudah untuk dia beralih arah. Walaupun Fernando Torres depan mata, dia yakin Man U tetap di hati. Sejak dari kecil, hanya pasukan itu yang diminatinya. Dia membesar bersama pasukan itu.
“Abang baca apa sampai mulut terkumat-kamit macam tu?,” Ayunie menepuk agak kuat bahunya. Terkejut beruk Fahmi. Ayu ni, kacau betul! Orang nak bertenang pun tak boleh. Rungutnya dalam hati.
“Ooo, Ayu tahu. Abang jampi Liverpool supaya kalah kan. Teruk betul abang ni. Tapi, Ayu tak kisah pun menang atau kalah, sebab ni perlawanan persahabatan sebelum EPL musim seterusnya bermula. Yang penting dapat tengok muka Torres,”
“Mana ada. Ayu ni nak fitnah abang pulak,”
“Em, kalau bukan sebab tu , sebab apa pulak ye. Takkan lah abang berdebar nak masuk Anfield pulak,” Iskh, Ayu ni macam tahu-tahu pula.
“Ha, betullah tu. Relaks la abang, abang bukan nak masuk dewan peperiksaan pun. Kita datang ni tengok bola, lagipun ni Liverpool yang lawan. Abang ni lebih-lebih pula. Ayu pun tak berdebar macam abang,”
“Yalah, yalah. Jom, kita masuk,” Fahmi kemudiannya mengeluarkan tiket yang berharga 17£ itu. Ingin dipastikan tempat duduk mereka.


Mereka melangkah masuk ke dalam stadium yang dipenuhi oleh ribuan peminat, dan hampir 90% mereka memakai baju berwarna merah, termasuk mereka berdua. Dan beribu-ribu lagi memakai jersi Liverpool, dan memegang kain rentang kelab gergasi itu.
Tepat jam 8, seluruh stadium bersorak apabila pemain-pemain keluar untuk sesi memanaskan badan selama 10 minit. Ayunie tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar. Selepas itu, seluruh stadium bergema dengan laungan lagu tema LFC, yang akan dinyanyikan setiap kali sebelum perlawanan bermula.

“Eh, abang tahu nyanyi lagu You’ll never walk alone? Ayu pun ingat sikit-sikit je. Macamana pulak abang boleh ingat full song?,”
“Ayu, orang tengah concentrate ni. Semua tengah nyanyi. Ayu nyanyilah sekali,” Fahmi sedikit berbisik.

Selepas menyanyikan lagu itu, semua pemain keluar untuk memulakan sepakan pertama. Stadium yang penuh membuatkan Ayunie lagi bersemangat. Ramai betul rupanya peminat LFC ni. Dirasakan seolah bermimpi. Betul ke sekarang dia ada kat Anfield? Dan Torres ada di depannya, beraksi di padang. Ayunie mencubit pipinya. Auch! Sakit. Nyata dia tidak bermimpi. Walaupun jauh, dia masih boleh mengecam dengan jelas yang mana satu Torresnya. Walaupun in hanya perlawanan persahabatan antara Liverpool dengan Lazio, tetapi Anfield tetap penuh dengan lautan manusia. Ayunie tidak dapat membayangkan, macamana agaknya suasana Anfield waktu Liverpool bertanding dalam liga. Mesti lebih meriah, dan harga tiket semestinya mahal.

Perlawanan yang berlangsung agak seimbang. Separuh masa pertama tamat dengan tiada jaringan bagi kedua-dua kelab. Ayunie mengambil peluang untuk mengambil gambar pelbagai sudut stadium tersebut dan juga penonton-penonton yang pelbagai. Berpaling ke tepi, dapat dilihat suaminya hanya diam. Malas mahu menyapa, dia hanya membiarkan sahaja Fahmi melayan perasaannya.

Sepanjang separuh masa kedua, Ayunie dapat merasakan perubahan suaminya. Fahmi lebih banyak memberikan reaksi setiap kali pemain di atas padang melarikan bola. Dia hanya memandang sekilas ke arah suaminya, lalu pandangannya dihalakan ke padang. Dia tidak mahu Fahmi sedar bahawa dirinya diperhatikan. Terasa tekaknya haus, dikeluarkan air mineral dari begnya lalu diteguk perlahan. Tiba-tiba, dia mendengar seseorang disebelahnya menjerit dengan agak kuat dan bersemangat.
“ Go Torres, go!,” serentak dengan itu terus tersembur air dari mulut Ayunie. Nasib baik sempat dikawal, kalau tak habislah rambut ceracak abang kat depannya. Ayunie cukup kenal suara itu. Laju dia menoleh ke sebelah kanan dan jelas terlayar di matanya, Fahmi tersengih-sengih, menegakkan jari tengah dan telunjuknya, sambil berkata; peace!

Perlawanan malam itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tuan rumah, 1-0 ke atas Lazio hasil jaringan Andriy Voronin pada saat-saat akhir. Penonton mula berpusu-pusu meninggalkan kawasan stadium. Waktu mereka menuju ke pintu untuk keluar dari stadium, Fahmi ditegur oleh seorang lelaki pertengahan 30-an.

“That game was awesome, wasn’t it?,”
“Yes, it was great!,” Fahmi membalas.
“This is my first time to Anfield and now, still can’t believe that I’m here,” Lelaki itu menambah.
“Oh, really? So do I. I was so impressed with their performances, especially Fernando Torres. He has skills that never belong to anyone else. He is unique,” Ayunie disebelah hanya tersenyum. Suaminya memuji Fernando Torres? Rupa-rupanya dalam diam Fahmi tetap mengikuti perkembangan semasa Torres. Ingatkan langsung tak ambil peduli.
“You came here just to watch this match?,” Ayunie terkejut apabila dia tiba-tiba disapa oleh seorang wanita, mungkin pasangan lelaki yang menegur Fahmi tadi.
“Actually we came here for our honeymoon,”
“Oh, congratulation for your wedding. I can see your husband really likes Torres so much. No wonder he chose this place for your honeymoon,”
“Yes, he is,” Ayunie hanya mengiakan. Malas dia nak bersoal jawab. Lagi satu, air muka Fahmi perlu dijaga. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menjawab; “No. Actually before we came here, we have little argument about this because my husband doesn’t want to come here as he is die hard fan of Manchester United. I was the one who admire Torres so much,” Haru pula kalau itu jawapannya. Fahmi masih lagi rancak berborak. Seronok benar suaminya bercerita tentang kehebatan Liverpool, sesekali kedengan nama Torres dan Alonso disebut, sambil tangannya tergawang-gawang ke sana sini. Seperti seorang penjaga gol lagaknya. Sudahnya, Ayunie hanya menggeleng melihat telatah Fahmi. Siapa yang minat Liverpool sebenarnya ni???

*****

Ayunie membuka satu persatu folder yang mengandungi gambar-gambar sepanjang mereka di UK. Lusa mereka akan berangkat pulang ke Malaysia, meninggalkan bumi Eropah ini setelah menghabiskan masa hampir 2 minggu untuk bulan madu mereka. Pelbagai gaya dirakamkan di tempat yang berbeza. Dia tersenyum sendiri. Kemudian, dia mebuka folder -ANFIELD-, spontan tawanya meletus. Fahmi sedang membuat mimik muka bosan waktu mula-mula mereka sampai di Anfield. Dan gambar-gambar seterusnya, kebanyakannya muka Fahmi, dangan pelbagai aksi. Hanya beberapa keping saja gambarnya, kerana sememangnya dia tidak gemar bergambar. Fahmi tahu tentang itu. Gambar terakhir merakamkan aksi mereka berdua di mana sebelah tangan Fahmi memeluknya dan sebelah tangan lagi; Thumbs up! Merujuk kepada logo LFC di sebelah kiri mereka. Pasti kecoh kalau tunjuk kat abang Akmal dan Iqbal. Pasti suaminya digelakkan oleh mereka berdua.

Dipandang Fahmi yang berdengkur perlahan di atas katil. Penat benar suaminya bersorak di Anfield tadi, ditambah pula kepenatan memandu dari Leceister-Manchester-Liverpool. Ayunie menutup laptopnya lalu bergerak menghampiri katil, namun langkahnya terhenti apabila kakinya tersepak sesuatu. Siapa punya ni?. Desisnya dalam hati. Diangkat beg kertas yang mempunyai lambang LFC itu lalu dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Dia memang tidak membeli apa-apa di stadium tadi, kerana ingin menjaga hati Fahmi. Ayunie menarik sesuatu dari dalam beg kertas itu, lalu muffler scarf berwarna merah putih melurut jatuh di atas ribanya. Tertera jelas di pandangannya, scarf yang sama dengan scarf yang ingin dibelinya di Anfield tadi. Dipandang wajah Fahmi disebelahnya. Ah, suaminya itu. Susah hendak diduga. Selalu menyakitkan hati, namun Fahmi juga mampu membuatkan dia menitiskan air mata bahagia. Ayunie merendahkan badannya lalu dikucup lembut dahi suaminya. Kasihnya tumpah disitu. Terima kasih ya Allah, kerana memberikan insan bernama Fahmi sebagai suami. Walau apa pun yang berlaku, cintanya akan tetap utuh buat Fahmi. Biar sepuluh Torres datang sekali pun, tetap tidak dapat menandingi Fahmi dimatanya. Cintanya buat Fahmi seteguh Anfield yang berdiri megah di bumi Liverpool. Takkan goyah walau sedikit. Malah akan lebih kukuh setelah pelbagai rintangan dan halangan mereka tempuhi bersama. Moga bahagia milik mereka sentiasa. Itu doanya.

No comments: