Monday, February 9, 2009

KISAH CINTA EPL

“Abang tak payah lah jemput Ayu pagi esok,”
“Kenapa pula ni? Ayu tak kesian ke abang joging sorang-sorang. Kita kan dah biasa joging sama-sama hari Sabtu.
“Ayu ada kerja sikit”
“Kerja apa pagi-pagi buta, hari Sabtu pula tu?”
“Adalah...”
“Ala, cakapla. Nak berahsia dengan abang pulak”
“Tapi kalau Ayu cakap abang jangan marah tau”
“Yalah. Apa dia?”
“Em, Ayu takut Ayu bangun lambat esok. Malam ni Liverpool lawan Blackburn Rovers. Sayang la kalau miss game tu,” perlahan saja Ayunie menjawab. Takut menimbulkan kemarahan tunangnya.
“Hah? Itu ke sebabnya? Jangan nak mengada-ngada, okay,” Fahmi mula membebel. Ayunie tayang muka selamba. Dah agak dah. Tadi cakap tak nak marah-marah.
“Abang tak kira. Kalau Ayu nak tengok bola tengoklah, tak nak tidur pun tak apa. Tapi yang abang tahu, pagi esok Ayu kena siap, abang jemput macam biasa,” Fahmi tidak berkompromi. Ayunie bengang. Dia dah mula buat perangai Adolf Hilter dah..
“Esok pagi Ayu temankan abang joging. Nak tidur waktu joging tu pun abang tak kisah, but you have to be there. Abang tak nak joging sorang-sorang. Lepas tu, abang tak nak makan roti canai sorang-sorang. Nanti kan tak pasal-pasal mamat jambu yang tebar roti canai tu ngorat abang lagi. Tak nak la abang, geli. Eee..,” Ayunie hanya tergelak, masih terbayang diingatannya peristiwa 2 minggu lalu di kedai roti canai Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, waktu itu dia menyuruh Fahmi menempah dulu sarapan pagi mereka, kerana dia ingin berhenti sekejap di gerai sebelah untuk membeli akhbar. Sebaik sahaja dia sampai di gerai roti canai tersebut, dilihatnya seorang lelaki, tapi gayanya mengalahkan perempuan sedang bertanyakan sesuatu kepada Fahmi. Tergedik-gediklah pula aksinya. Ayunie hanya menunggu, malas mengganggu. Hanya mendengar pertanyaan lelaki yang tak serupa lelaki itu.
“Sorang je, bang? Abang nak makan apa? Abang ni hensem la. Kita keluar malam ni nak tak? ” Geli geleman Ayunie mendengarnya. Mamat ni ingat kat depan dia tu Angelina Jolie ke? Tunang aku pun dia nak ngorat. Dah la satu kaum. Iskh, iskh, rosak betul. Gumam Ayunie dalam hati. Dipandang sekilas wajah Fahmi yang terkulat-kulat, tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Kesian pulak dilihatnya, lalu dia menghampiri tunangnya itu.
“ Dik, akak dengan tunang akak ni cadangnya nak pergi tengok bola malam ni, siaran langsung kat Seksyen 8, ada skrin besar. Jomlah ikut. Adik minat pasukan mana, Liverpool ke Arsenal?” Pemuda itu agak terkejut dengan kehadiran Ayunie yang tiba-tiba saja datang, entah dari arah mana.
“Saya hanya minat main bola jaring je kak. Macam ni hah” Dia mempamerkan gaya ala-ala GS menjaringkan bola, lantas berlalu pergi dengan lenggang-lenggok yang penuh gemalai. Ayunie hanya memandang wajah Fahmi yang sedang ketawa tak ingat dunia. Dipandang jiran sebelah mejanya pun, sedang bergelak sakan juga.
“Cayalah, akak” mereka memujinya. Ayuni hanya mengganggukkan kepala. Masih mengekalkan muka seriusnya, padahal dalam hati, Tuhan je yang tahu sakit otot perutnya menahan gelak yang bila-bila masa saja boleh meletus.

“Ni apa senyum sorang-sorang ni. Ingatkan apa?, ” tiba-tiba lamanunannya dicantas Fahmi.
“Tak ada apa pun. Em, abang joging la sorang esok. Bukan tak biasa pun,” saja Ayunie mahu mengusik Fahmi.
“Ayu jangan main-main dengan abang. Kalau Ayu tak nak temankan abang esok, nanti abang koyak organizer Liverpool Ayu. Biar padan muka. Jangan ingat abang tak berani tau” Fahmi mengugut.
“Iskh, abang janganlah. Perangai macam kanak-kanak,”
“Siapa lagi perangai macam kanak-kanak sebenarnya. Abang ke Ayu? Ayu dah lupa ke siapa yang sorokkan sweater Man U abang? Berhari-hari abang cari. Ayu boleh buat muka selamba. Bila abang tanya, ayu cakap tak tahu. Elok saja abang tengok benda tu ada kat tangga depan rumah Ayu jadi alas kaki. Sampai hati, Ayu. Melampau betul ,”. Ayunie hanya sengih. Alamak, dia buka cerita lama pula dah.
“Kan Ayu dah ganti balik. Lagi mahal pula tu, yang original lagi. Dahlah abang punya tu beli kat Golok, minta ganti yang ori. Tak adil betul,”
“Siapa suruh buat hal dengan abang? Bagus juga abang merajuk, boleh dapat sweater ori. Aci la kan, ”
“Yalah, yalah. Esok abang ambil Ayu macam biasa. Kita joging sama-sama. Tapi kalau Ayu tertidur abang jangan marah pulak,”
“Joging mana ada masa nak tidur. Bukannya macam tengok Liverpool lawan. Boring, mengantuk. Tak apa, nanti abang tarik Ayu. Tapi, bukankah dulu practice dengan Torres. Mesti kena lari laju macam dia. Nanti…” Belum sempat Fahmi menambah, dia menjerit kesakitan apabila rusuknya di siku oleh Ayunie. Ouch..

*****

Sudah menjadi kebiasaan mereka bila ada waktu kelapangan, mereka akan menghabiskan masa di kedai buku, dan kedai yang paling kerap mereka kunjungi, MPH Mid Valley. Sementelah hobi kedua-duanya adalah membaca, setakat 2-3 jam memanjakan diri dengan buku-buku di MPH adalah perkara rutin meraka setiap minggu.
“Abang, tengoklah buku ni,” Ayunie menunjukkan sebuah buku kepada Fahmi. Fahmi hanya melihat sekilas, tiada reaksi darinya. Kemudian dia tunduk menyambung pembacaannya, karya Barrack Obama, Dreams from My Father: A Story of Race and Inheritance.
“Abang, tengoklah ni,” Ayunie mengunjukkan buku My Captain’s Book kepada Fahmi. Dia membelek-belek seketika, lalu menyambung “Oh, Steven Gerard ni sebaya dengan abang rupanya. Baru Ayu perasan. Tarikh lahir pun dekat-dekat je, cuma abang lahir lagi awal 5 hari. Wah bagusnya,” Masih tiada respon dari Fahmi.
“Eh, abang. Tengok yang ni pula,” Ayuni masih mencuba, tiba-tiba buku ditangannya ditarik oleh Fahmi.
“Ayu nak rasuah abang supaya sokong LFC kan. Abang dah tahu dah taktik Ayu ni. Tak payah beranganlah, abang takkan terpengaruh dengan pujukan dan kata-kata manis Ayu tu. Abang akan tetap setia menyokong Man U, biar apa pun yang terjadi. Kasihku hanya pada The Red Devils, not The Red okay,”
“Abang ni, berlebih-lebihlah pula. Setia sangat dengan Christiano Ronaldo tu. Bukannya hensem pun. Berlagak je lebih. Macam bagus sangat. Dahlah pakai subang, eee, tak suka,”
“Habis tu, Torres tu hensem sangat ke ?,”
“Hensem!” pantas Ayunie menjawab. Fahmi tunjuk muka geram. Lantas mengundur ke belakang.
“Nanti Ayu balik sendiri,” arahnya. Ayunie hanya tersengih. Arif benar dengan rajuk Fahmi, sekejap lagi eloklah tu. Begitulah selalunya yang berlaku, tak pernah aman kalau melibatkan bola.

*****

Malam itu, mereka makan malam di rumah keluarga Ayunie. Sudah agak kerap Fahmi ke situ memandangkan usia perkenalannya dengan Ayunie sudah melebihi 5 tahun. Keluarga Ayunie menerima Fahmi seadanya. Lagipun, hanya tinggal sebulan lagi untuk mereka diijabkabulkan.
“Nanti lepas kahwin, korang planing nak pergi honeymoon kat mana?,” Akmal, abang sulung Ayunie bertanya.
“Kami cadang nak pergi Europe,”
“Wah, Europe. Seronoknya. Nak pergi negara mana? UK?,” Lily, kakak ipar Ayunie pula ingin tahu.
“Ingat nak pergi Holland, Spain, Paris. Sambil tu boleh singgah ke UK. Adik saya ada kat Loughborough, Leicester. Boleh pergi tengok dia, sebab waktu kami kahwin nanti dia tak boleh nak balik. Tengah periksa,” Fahmi menjawab.
“Oh, baguslah macam tu. Alang-alang dah pergi Leicester, teruslah gerak ke Liverpool. Dah dekat dah tu, boleh pergi Anfield. Ayu kan selalu mimpi nak pergi ke Anfield,”
“Ha, kan Ayu dah cakap, abang Fahmi ni tak nak dengar, dia nak pergi juga ke Old Trafford” Fahmi hanya menjeling Ayunie, geram dengan lagak tunangnya itu. Depan keluarga dia pun nak ajak gaduh ke?
“Apa masalahnya, pergilah dua-dua. Alang-alang dah sampai kan, rugilah kalau tak pergi. Dari Leicester tu jaraknya lebih kurang sama je, ke Manchester atau Liverpool. Lebih kurang 2 jam. Sampai sana sewalah kereta, lepas tu round la UK. On the way nak pergi Liverpool tu singgah la Stoke-On-Trent. Kat situ terkenal dengan seramik dan pottery,” abang Akmal memang mahir jalan sana, memandangkan hampir 4 tahun dia dekat UK, sambung belajar kat Birmingham, kat sana juga jumpa kak Lily.
“Kalau nak pergi ke Manchester dari Liverpool pun okay juga. Lebih kurang sejam je naik kereta,” Ayunie hanya menarik muka, mendengarkan saranan dari abangnya itu. Pergi Manchester? Oh no! Sekilas dipandang muka Fahmi yang tersengih-sengih menjungkit keningnya yang lebat itu, bersama senyum mengejek. Ziana Zain pun tak boleh lawan macam ni. Menyampah!
“Saya dah bagitau dia macam tu, bang. Adik abang ni degil,”
“Tak nak lah pergi Old Trafford. Kalau abang nak pergi, abang pergi sorang-sorang. Ayu tak nak ikut. Pantang ada peminat Liverpool pergi Old Trafford. Murtad namanya,”
“Eh, Ayu ni. Sampai ke situ pulak. Teruk betul. Tak pernah umi dengar ada orang murtad sebab sokong bola. Tu sokong je, Ayu bukannya reti main pun. Nama dah honeymoon. Mana boleh sorang ke sini, sorang ke sana. Kena sekalilah,” umi Ayunie menyampuk.
“Ayu ni nak orang dengar cakap dia je umi, dia mana nak dengar cakap orang. Akmal pun pelik macam mana lah Fahmi boleh tahan dengan dia ni. Nasib kau lah Fahmi, dapat Ayu ni jadi isteri,”
“Apa abang ni, orang sikit punya baik ada ke patut cakap macam tu,”
“So, keputusannya nak pergi mana, Anfield ke Old Trafford?” abah bersuara setelah dari tadi hanya jadi pemerhati.
“Ayu tetap tak nak pergi Old Trafford,” Ayu menegaskan pendiriannya.
“Kalau macam tu, abang pun tak nak pergi Anfield,” Fahmi juga tak mahu mengalah.
“Senang cerita, kamu berdua pergi Emirates. Sokong Arsenal macam abah. Adil!” Serentak kedua-duanya terlopong mendengar keputusan abah. Abang Akmal hanya tergelak. Padan muka!

*****

Agak susah untuk mencapai persetujuan antara mereka kerana dua-dua keras kepala, langsung tak nak mengalah. Cuma satu perkara yang mereka 300% bersetuju antara satu sama lain. Warna tema perkahwinan mereka. Merah, sudah tentu. Dalam tak sedar, Ayunie bersyukur, nasib baik Fahmi meminati Manchester United. Kalaulah Fahmi penyokong Aston Villa, tak dapat dibayangkan ‘haru biru’ baju pengantinnya nanti. Bercampur-campur, merah, maroon, biru. Eee..buruk.

Akhirnya mereka tetap juga disatukan. Dalam suasana yang sederhana, tapi agak meriah. Majlis bertandang diadakan keesokkan harinya memandangkan mereka dari satu negeri, rumah keluarga masing-masing pun bukanlah jauh sangat.

Setelah tetamu agak reda, Iqbal sahabat baik Fahmi menghampirinya.

“Mie, macam mana malam tadi. Seronok?,” senyuman nakal terlukis di bibirnya. Iqbal ni, tak ada benda lain ke nak tanya. Dia faham sangat maksud soalan Iqbal itu, walaupun agak tersirat, tapi jelas tersurat di muka Iqbal yang tersengih-sengih macam kerang busuk itu.
“Em, seronok la sangat. Menyesal aku pilih tarikh semalam untuk kahwin,”
“Hah? Biar betul, baru kahwin sehari dah menyesal? Kau tak suka Ayu ke? Dia sakitkan hati kau?”bertalu-talu soalan keluar dari mulut Iqbal.
“Kau ni, ke situ pula. Aku sayang la bini aku tu. Cuma, aku rasa sepatutnya aku kena kahwin minggu depan ke, minggu lepas ke..yang pasti bukan semalam,”
“Kenapa pula?”
“Kalau kau nak tahu, inilah kali pertama aku rasa tak seronok sangat walau Man U menang. Kalau tak menang lagi bagus,”
“Bagus la menang. Kau kan ke penyokong setia Man U? Eh kejap-kejap..semalam lawan Liverpool kan. Ooo..aku tahu sebab apa..gaduhlah ni..,”
“Dia tak nak bagi aku tidur atas katil..dia suruh aku tidur atas sofa. Iskh, sakit badan aku ni tau tak. Bola punya pasal, haru biru malam pertama aku,”
“Tu aku tengok isteri kau macam dah okay je. Lawa je dia senyum tu,”
“Dekat tetamu memanglah dia senyum. Cuba kau perhati betul-betul cara dia tengok aku. Macam nak telan aku hidup-hidup dah gamaknya,”
“Fanatik betul Ayu dengan Liverpool, ya. Pasal apa yang dia berdendam sangat dengan Man U, hah? Tapi sanggup pulak dia kahwin dengan die hard fan of The Red Devils. Tu yang aku sangat-sangat tak faham,”
“Nak buat macam mana kan. Dah jodoh aku. Kena tunggu esok la macam mana. Aku kena berpaling tadah jap, kena sokong team dia lah. Esok malam, Liverpool lawan West Ham United. Harap-haraplah menang,”
“Tak pernah-pernah aku terfikir kau akan sokong Liverpool, Mie. Tak pernah terjangkau di akal fikiran ku yang bijak ini,”
“Nak buat macam mana kawan, sayang bini punya pasal,” dan dari jauh, dapat dilihat Ayunie dan kawan baiknya, Aimi, merangkap tunang Iqbal menuju ke arah mereka.
“Dia datang tu. Kau cover aku ye, Bal,” Iqbal hanya tersenyum sambil menggeleng. Takut bini rupanya Fahmi ni.
“Tahniah, Ayu. Kahwin juga akhirnya korang kan,” Iqbal menyapa Ayunie yang kelihatan sangat manis dengan sepasang kebaya putih gading.
“Alhamdulillah, dah jodoh kami,” Ayunie membalas.
“Tapi korang memang pasangan yang sepadan pun. Jarang benar aku tengok korang bergaduh. Tak ada masalah, kecuali kalau melibatkan Liverpool dengan Man U. Pantang. Musuh ketat,” Ayunie hanya ketawa mendengarkan komen Iqbal. Nampak sangat ke dia berperang dengan Fahmi pasal bola. Alamak, malu-malu.
“So, honeymoon pergi mana?,” Aimi mengutarakan soalan.
“Anfield / Old Trafford,” hampir serentak Fahmi dan Ayunie menjawab. Dan serentak itu mereka berpaling. Eh, biar betul. Iqbal juga pelik. Betul ke apa yang dia dengar? Ke otaknya salah tafsir? Fahmi kata nak pergi Anfield? Ayunie, nak pergi Old Trafford?? Dah terbalik ke dunia?
“Abang nak pergi Anfield?,” Ayunie berpaling menghadap suaminya.
“Ayu nak pergi Old Trafford?,” Fahmi bertanya tanpa menjawab soalan isterinya. Dapat dilihatnya dengan jelas, Ayunie mengangguk.
“Betul ni?,” tanyanya lagi.
“Betullah,” ujar Ayunie. Mengangguk lagi. Biarlah dia yang mengalah. Selama ini, dah banyak Fahmi mengalah. Kali ni biar dia pula berkorban untuk suaminya yang tercinta.
“Tak menyesal?,” Fahmi menduga.
“Abang jangan buat Ayu tarik balik keputusan Ayu,” Ayunie mengugut.
“Okay, okay. Kita pergi Anfield, lepas tu kita gi Old Trafford, ye?,”
“Okay,” Ayunie tersenyum.
“Wah, macam ni lah bagus. Seronok aku tengok korang macam ni. Kalau tak asyik nak bercakar je kerjanya kalau bincang pasal bola, terutamanya kau Ayu,”
“Kau nak kena lesing dengan aku ke Iqbal?” Ayunie berpura-pura mengangkat sikunya.
“Kau ni. Nama dah AYU, tapi tuannya tak ada lah se ‘ayu’ mana. Dah jadi isteri orang pun siap nak lesing orang lagi,” Aimi berpihak kepada tunangnya. Dia faham benar perangai Ayunie. Degil, tak mahu mengalah.
“Macamana nak ayu, kalau Fernando Torres yang dia jadikan idola? Kalau Siti Nurhaliza tu boleh juga nak di terima dek akal. Kan sayang?,”Fahmi mengusik isterinya. Ayunie hanya menjeling suaminya tajam. Memang nak kena ni!

1 comment:

sabiqahT.Anuar said...

salam singgah sebentar
saya suka semua tulisan awak, ehhe
saya da letak link coretan isu dalam blog saya

tQ

=)