Monday, March 16, 2009

KEKASIHKU SI KIDAL

Syafina memerhatikan sekeliling dewan. Semuanya tekun mendengar ceramah. Dia paling tidak gemar menghadiri ceramah. Bosan. Baru 10 minit dalam dewan, dia dah mula gelisah. Macam manalah nak habiskan 2 jam ni cepat-cepat. Kejap lagi kena jumpa Prof Noor pulak. Prof Noor ni pun satu, masa-masa inilah dia nak jumpa aku. Dahlah report student belum habis tanda lagi. Dari pagi lagi kerjanya hanya menanda laporan amali pelajar dan rasanya belum sampai separuh pun siap ditandanya, sampai terlepas waktu makan tengahari. Sedar tak sedar dah hampir pukul dua petang, bergegas dia ke Medan Kuliah 12 untuk menghadiri ceramah tersebut. Lapar, perutnya asyik menyanyi. Malam ni nak makan apa ya? Dapat tomyam ayam merah kat BB Seafood pun best juga ni. Dia merancang dalam kepala.
“Ehem,” lamunannya terhenti. Syafina pantas mengalihkan pandangan ke hadapan, pura-pura tekun mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut penceramah pada petang itu.
“Ehem ehem,” lagi sekali dia terdengar orang berdehem, lebih kuat dari yang sebelumnya. Dia mendongak. Terserlah dipandangan matanya, seorang lelaki memakai kemeja putih sedang tersengih di depannya, sambil memegang sebuah kerusi. Alamak, ingatkan aku berkhayal, memang betul ada orang berdehem rupanya. Dah berapa lama mamat ni berdiri kat sini? Dia perasan ke aku duk berangan?
“Nak duduk sini boleh?,” lelaki itu bersuara. Syafina hanya mengengsotkan sedikit kerusinya ke sebelah kiri untuk memberi ruang kepada lelaki itu menumpang 4 kaki kerusinya. Mamat ni dahlah datang lambat. Tiba-tiba pula datang menempel disebelahnya. Macamlah tak ada meja lain. Syafina mengangkat muka memerhati ke sekeliling dewan. Semua meja telah diduduki oleh peserta lain.Yang berkongsi 3 orang untuk dua meja pun ada. Cuma dia yang keseorangan, bertemankan sebuat printer yang ada disebelahnya. Mungkin printer urusetia yang diletakkan di situ. Syafi, kau ingat mamat ni nak sangat ke duduk kat sebelah kau. Kalau ada meja kosong tak adanya dia nak duduk kat sebelah kau. Perasan sungguh! Dia mengerling sekilas ke arah lelaki di sebelahnya. Tidak pernah dilihat pun sebelum ini. Staff baru eh? Boleh tahan mamat ni. Kacaklah jugak seposen dengan kaca mata. Rabun rupanya. Syafina mengalihkan tangannya. Membetulkan duduknya supaya lebih selesa. Niatnya untuk menganalisis mamat disebelahnya terus terhenti apabila seisi dewan riuh dengan tepukan. Hah? Apa yang sebenarnya berlaku? Dilihatnya semua orang sedang ketawa. Penceramah di depannya masih lagi memegang mikrofon. Mamat disebelahnya pun tengah bergelak sakan. Alamak comellah pulak. Dia tersenyum. Seronok juga kalau setiap kali pergi ceramah jumpa mamat comel macam ni. Tak adalah aku mati kebosanan. Ceramah? Ya Allah! Aku tengah menghadiri ceramah rupanya. Dipandang handout di depannya. Masih lagi muka surat pertama. Dilihat pada skrin didepannya, sudah slide ke 19, maknanya dah muka surat ke 4. Kalut dia membuka muka surat itu. Mesti mamat sebelah aku ni fikir macam-macam. Berangan je kerja. Hai Nur Syafina. Apa nak jadi ni, orang suruh pergi ceramah, kau duduk berangan sorang-sorang. Pantang ada mamat kacak sikit mulalah nak berbunga. Fokus. Fokus. Semua ni mainan perasaan saja. Syaitan, pergi main jauh-jauh. Fokus Syafi, fokus. Bayangkan penceramah di depan itu adalah Brad Pitt. Sure boleh concentrate punya.
Sekali lagi dia membetulkan duduknya, betul-betul menghadap ke penceramah. Penutup pen dibukanya. Tengok, dah lebih setengah jam ceramah, baru nak buka tutup pen. Handout lelaki disebelahnya dah penuh berconteng.

Meja yang didudukinya terasa sengat sempit. Meja yang sepatutnya untuk dua orang itu, terpaksa dikongsi dengan lelaki disebelahnya dan juga sebuah printer. Setiap kali ingin menulis, kerap kali tangannya berlaga dengan tangan mamat tu.
“ Sorry,” lelaki tersebut meminta maaf daripadanya lalu kembali menulis. Dia hanya mengangguk. Pandangan dihalakan kembali ke arah skrin. Mencatat isi-isi penting. Sekali lagi tangan lelaki tersebut melanggar tangannya. Kali ini agak kuat, sampai terconteng kertasnya.
“Sorry lagi sekali,” mamat tu tersengih. Ni apahal la pulak mamat ni asyik terlanggar tangan aku. Nasib baik lapik baju kurung. Kalau tak, tak pasal-pasal batal wudhuk, tapi aku bukan ada wudhuk pun. Bendera Jepun tengah berkibar. Kalau pun nak ngorat guna lah taktik lain. Ni taktik zaman bujang lapuk di aplikasikannya. Syafina menggumam dalam hati. Malas nak layan. Harapkan muka je kacak, tapi miang la pulak. Belum sempat dia mengengsot ke sebelah kiri, lagi sekali lengan kanannya disiku oleh lelaki tersebut. Ini sudah lebih. Saja nak mencabar kesabaran aku yang sememangnya tak pernah nak sabar ni. Dia berpaling ke sebelah kanannya, berniat untuk menegur.
“Alamak, awak. Saya memang tak sengaja. Macam ni lah gayanya kalau nak tulis cepat,” dia mengangat tangan kirinya yang sedang memegang pen. Lah, kidal rupanya mamat ni. Patutlah asyik berlaga saja. Ingatkan nak ngorat aku.Dia tersenyum cuma dalam hati. Perasan tak habis-habis. Hari ini sahaja dah berapa kali dia syok sendiri.

Habis ceramah dia bergegas balik ke pejabat. Prof Noor tengah menunggu. Dibiarkannya sahaja mamat kidal itu terjerit-jerit memanggilnya. Apa hal pula mamat tu memanggilnya. Takkan nak minta nombor telefon kot? Lagi sekali Syafina membuat andaian yang berbaur syok sendiri. Tanpa menunggu lebih lama terus dia memecut keretanya laju. Minta maaflah encik kidal yang comel, saya memang kejar masa.

*****

Malam itu, seperti biasa Syafina makan malam di BB Seafood Restauran. Terletak di Gong Badak, cuma 5 minit menaiki kereta dari rumah sewa mereka. Restauran itu adalah tempat kegemaran mereka untuk menjamu selera. Sudahlah selesa berhawa dingin, makanan pula kena dengan seleranya, dan harga pula agak berpatutan. Cuma satu yang dia tidak suka, lepas balik makan, baju mesti masuk mesin basuh, tak boleh nak recycle walaupun hanya pakai tak sampai sejam. Bau makanan kuat sangat sampai lekat kat baju, tudung dan semualah yang berfabrik. Mungkin sebab restauran tu pakai air-cond, udara pun berpusing sekitar situ sahaja.
Selepas memesan makanan kegemarannya, tomyam ayam merah, nasik putih dengan telur dadar, dia berpaling ke arah Hafiza yang sedang asyik bermesej dengan tunangnya, Mikail.
“Tersengih-sengih. Tak ada kerja lain. Pagi petang siang malam duk ralit bermesej je. Meh sini aku tengok jari kau, ada bengkak ke tak,” Syafina menjangkaukan tangan untuk mencapai tangan Hafiza, tapi sempat ditepis oleh temannya itu.
“Kau ni kalau tak ada unsur dengki dengan aku memang tak sah. Kacau je,”
“Yelah, kau seronok bermesej, aku nak cakap dengan siapa. Dengan kad menu ni?,” Syafina mengangkat kad menu ditanggannya berpura-pura bertanyakan sesuatu kepada kad tersebut. Hafiza hanya menggeleng. Kepala temannya yang seorang ini bukan boleh dipakai. Biol sikit. Kalau malam-malam lain tiada masalah sebab biasanya mereka datang berempat, tapi malam ini hanya mereka berdua. Alisa sudah dua hari balik ke Kajang untuk berjumpa suaminya, manakala Kak Hajar pula tidak mahu makan malam ini. Ingin berdiet katanya.
“Yalah, yalah. That’s the last message. Mikail pun ada kerja nak buat. Em, itulah kau. Hari tu, aku nak kenalkan kau dengan Zairul, kau tak nak. Jual mahallah konon. Zairul tu walaupun baru saja masuk jabatan aku, tapi aku dah kenal dia lama. Lebih lama dari aku kenal kau, cuma tak adalah rapat macam kau. Yalah, dia kan lelaki. Mana boleh rapat lebih-lebih. Marah abang Mikail aku,” panjang lebar pulak Hafiza ni bersyarah. Syafina hanya mencebik mendengar patah-patah perkataan yang keluar dari bibir comel Hafiza itu.
“ Kau ni semua orang kat jabatan kau, semua nak perkenalkan dekat aku. Haji Mus, ketua jabatan kau tu, tak nak pulak kau kenalkan dengan aku?,”
“Eh boleh. Aku tak ada masalah kalau kau sanggup jadi nombor 3. Aku rasa Tuan Haji pun lagi suka,”
“Gila kau. Malas aku nak layan,”
“Okay, tukar topik. So, macam mana dengan ceramah tadi? I bet mesti sangat ‘seronok’ kan?,” Hafiza mengangkatkan kedua-dua tanggannya, dan digerakkan kedua-dua jari tengah dan hantu.
“Em, seronoklah sangat. Kau tahu sajalah aku macam mana kalau pergi ceramah,” Syafina membalas, sungguh dia tidak ingat langsung apa topik penting yang dibincangkan. Hafiza hanya tergelak, faham benar dengan perangai kawannya itu. Belum pun orang kat depan memulakan topik, Syafina kat belakang dah mula berangan ceritanya sendiri, sudah terbang ke ISS tanpa perlu naik soyuz pun.
“Aku tak boleh nak concentrate sangat, ada mamat kat sebelah asyik duk langgar tangan aku je. Bukan sekali dua, berkali-kali. Pastu baru aku perasan dia kidal. So, aku rasa dia bukan sengaja kot,”
“Wah, orang berceramah kat depan, kau duk main langgar-langgar tangan kat belakang la pulak. Handsome tak mamat tuh?,”
“Nasib baiklah kacak kan. Nak marah pun tak jadi. Tapi dia bukan sengaja kan,”
“Apa nama dia? Kenalkanlah kat aku,”
“Kau ni memang gatal betul. Baru 10 minit tadi duk berkasih-sayang dengan abang engineer kat Penang tuh, tiba-tiba dah nak berkenalan dengan mamat kidal tuh. Lagi pun, aku bukan tahu nama dia, jabatan mana, bila masuk. Habis saja ceramah aku terus blah, tak sempat nak minum pun. Aku nampak mamat tu panggil aku, siap duk melambai-lambai lagi, tapi sebab tadi aku dah janji nak jumpa Prof Noor, so aku pecut jelah. Tak tahulah pulak kenapa mamat tu panggil aku,”
“Dia nak mintak nombor telefon kau kot,”
“Pandailah kau. Tapi kalau ya pun seronok jugak. Mamat tu comel. Ada ciri-ciri lelaki idaman aku. Kalau dapat confirm tak cari lain,”
“Weh minah. Siapa yang gatal sebenarnya? Aku ke kau? Belum apa-apa dah berangan sorang-sorang,” tak faham betul Hafiza dengan Syafina ni. Kebetulan waktu itu hidangan mereka tiba, terus dia mencapai sudu untuk menghirup sup sayurnya tanpa mempedulikan Syafina. Tak boleh layan orang yang suka syok sendiri ni. Dah kenyang beranganlah tu.

*****

Zairul mengetuk pintu pejabat rakan satu jabatan dengannya. Bila terdengar suara seseorang menjerit ‘ masuk’ dari dalam, dia terus memulas tombol pintu bilik itu.
“Assalamualaikum, Cik Fiza,”
“ Waalaikumussalam. Ada apa kamu nak jumpa saya, ya?,” Hafiza tidak menoleh ke pintu. Matanya masih dihalakan ke arah komputer. Dia mengandaikan Hadri datang kerana baru 10 minit yang lalu, Hadri menghantar pesanan ringkas untuk berjumpanya. Cepat pulak Hadri ni, kata nak datang pukul 4.
“ Saya datang ni nak hantar rombongan meminang,” Hafiza terkejut. Ni bukan suara Hadri.
“Hampeh kau, Zairul. Saja nak kenakan aku,”
“Kau tu yang ralit sangat buat kerja. Sampai tak sempat nak pandang muka aku yang kacak lagi tampan ni,”
“Perasanlah kau,”
“Memang hakikat pun aku ni kacak kan,” Hafiza hanya mencebik. Dia pelik dengan sikap Zairul. Lelaki di depannya itu agak menarik dimatanya. Tidaklah kacak, tapi tetap sedap mata memandang. Manis-manis saja. Nak perkenalkan dengan si Syafi, awal-awal lagi minah tu dah reject.
“Kau ni anti perempuan ke Zairul? Aku tak faham betullah, puteri dari kayangan mana yang kau tunggu sebenarnya,”
“Belum ada yang berkenan,”
“Itu aja lah jawapan kau sejak bertahun lalu,” tiba-tiba Hafiza terfikirkan sesuatu yang agak bernas baginya. Jika Syafina menolak tak bererti dia gagal. Dia boleh mencuba melalui Zairul pulak.
“Aku ada kawan yang masih single. Manalah tahu kan kalau-kalau kau berkenan. Merasalah aku nasi minyak dalam jangka masa terdekat ni,”
“Sejak bila pulak kau jadi agen pencari jodoh ni, Fiza? Kerja sampingan ya?,”
“Kerja sampingan tak bergaji. Alah, bolehlah Zairul. Aku pasti kawan aku tu menepati citarasa kau. Cun sangat,”
“Terima kasih jelah Cik Fiza. Aku tak berminat,”
“Ceh, jual mahal betul. Kau belum tengok lagi kawan aku. Nanti jangan menyesal. Ni apahal kau datang bilik aku ni?,” Hafiza bengang kerana Zairul pun menolak niat murninya untuk menyatukan lelaki itu dengan Syafina.
“Wah garang betul kau. Aku saja datang melawat bilik kau. Besar jugak bilik kau ni ya. First time aku datang sini,”
“Aku kenal sangat kau, kau takkan datang sini kalau tak ada apa-apa. Cepat cakap,” Hafiza menggesa. Zairul menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Nak cakap ke tak nak? Malulah pulak nak bagitahu minah ni.
“Em, aku nak tanya sesuatu kat kau. Tapi kau jangan gelak ya,”
“Apa dia?,”
“Er, aku nak tanya sebab kau dah lama kerja kat sini. Mesti kau kenal ada seorang perempuan ni. Tapi aku tak pasti dia dari jabatan mana. Aku duduk kat sebelah dia waktu ceramah minggu lepas. Tak sempat nak berkenalan, dia dah blah dulu,” sudah seminggu dia cuba menjejak perempuan yang berkongsi meja dengannya itu. Ada juga dirisik-risik dari Kak Pah, jiran di sebelah ofisnya, tapi Kak Pah pun tak kenal perempuan tersebut. Jalan terakhir yang dapat difikirkan, tanya pada Hafiza walaupun dia tahu akan ‘masak’ nanti dia digelakkan oleh Hafiza.
“Wah patutlah kau tolak mentah-mentah kawan aku tu, rupanya dah jumpa puteri lindungan matahari. Siapa dia?,”
“Kalau aku tahu aku tak tanya kau,” dia bangun mengelilingi bilik Hafiza. Kemas bilik minah ni. Wangi pulak tuh. Biasalah bilik perempuan. Berbeza benar dengan biliknya. Maklumlah dia lelaki, mana minat nak hias-hias bilik ni, yang penting perlu kemas dan bersih. Itu sudah memadai. Terdapat sebuah almari tinggi di sebelah kanan bilik, menempatkan pelbagai buku, tesis, artikel dan journal. Dinding tidak dibiarkan kosong. Pelbagai perhiasan ditampal oleh Hafiza. Dan dibelakang pintu, bergantungan tag-tag nama Hafiza, bagi segala macam majlis yang telah dihadirinya ataupun program di mana dia sebagai urusetia.
“Cuba cerita kat aku macam mana rupa dia,”
“Dia tinggi sikit daripada kau, body sedang-sedang, tak kurus tak gemuk, ada tahi lalat kat dagu. Sweet sangat. Lagi satu dia pakai MyVi hitam,” Zairul masih ingat lagi ciri-ciri yang ada pada gadis yang telah buat dia senyum sorang-sorang selama seminggu ini. Dia kemudiannya mendekati sebuah meja yang tersusun pelbagai jenis piala dan souveniers milik Hafiza. Juga terdapat beberapa buah bingkai gambar.
Hafiza mengumpul segala maklumat yang keluar dari mulut Zairul. Dia mengerutkan kening. Tinggi, body sedang-sedang, ada tahi lalat kat dagu. Dia cuba mengingati semua staff perempuan di UMT yang dikenalinya. Kak Zam pun ada tahi lalat kat dagu, tapi takkanlah Zairul minat dekat ibu beranak tiga itu? Tak masuk akallah pulak. Lagipun, Kak Zam lagi rendah daripadanya. Agak ‘rendang’ pulak tu. Confirm bukan Kak Zam. Ada lagi ke perempuan yang ada tahi lalat kat dagu? Kalau ada pun, Syafina. Tak mungkin minah tu kot. Tapi MyVi hitam? Kenapa ciri-ciri kereta tu sama pulak dengan kereta kesayangan Syafina? Adakah ini bermakna…
“Fiza, ni kawan kau ke? Perempuan ni lah yang aku cari!,” belum sempat Hafiza membuka mulut, Zairul terlebih dahulu mengetahui hakikat sebenar. Hafiza tersenyum. Masih memandang Zairul yang memegang bingkai gambarnya dengan Syafina yang dirakam sewaktu hari pertunangannya 5 bulan yang lalu. Betullah telahannya. Tapi kenapa sebelum ni dia tidak pernah terlintas pun waktu Syafina bercerita mengenai Zairul. Langsung dia terlupa yang Zairul kidal. Bukan dia tidak tahu akan hakikat itu. Penat saja dia mengaturkan rancangan mahu satukan mereka, rupanya mereka lebih dahulu berjumpa, sama-sama angau antara satu sama lain pulak tu. Lagi senang kerjanya.
“Fiza, dia ni kawan kau eh? Siapa nama dia? Kenalkanlah kat aku,” Zairul separuh merayu.
“Kau baru saja tolak tadi waktu aku nak kenalkan dia dengan kau,”
“Alamak, dia ke yang kau cakap tadi. Kalau dia ni, kau tak offer pun, aku nak. Besar tapak tangan aku ni, kalau tak cukup aku sediakan lengan, bahu , semua aku bagi,”
“Iskh, tak sabar-sabar lah kau ni Zairul. Tadi jual mahal sangat,” Zairul hanya tersengih. Hafiza senyum, dikepalanya sudah terlukis rancangan untuk menyatukan mereka berdua.

*****

Telefon bimbit Syafina berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Dilihatnya sepintas lalu, dari orang yang sama. Dari pagi tadi lagi dia saling berbalas pesanan ringkas dengan Zairul. Dia membiarkan sahaja mesej tersebut. Berniat untuk menghabiskan kerja dulu, sebelum menjawab mesej itu. Takut lambat menyudahkan kerjanya jika terlampau leka mebalas mesej dari Zairul. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Bila mesejnya tidak dibalas, Zairul menelefonnya pula. Ada-ada saja lelaki itu.
“Awak, jomlah lunch dengan saya hari ini,” setelah memberi salam, Zairul terus mengajaknya untuk makan tengahari bersama.
“Saya dah janji dengan kawan nak makan tengahari dengan dia. Tak elok mungkir janji. Lain kali ya kita jumpa ya,”dia menjawab. Memang dia telah berjanji untuk makan tengahari dengan Hafiza. Mengamuk pula minah tu kalau dia mungkir janji.
“Awak memang macam tu, saya tahu dah alasan awak,” Zairul seakan merajuk.
“Betul awak, saya dah janji dengan kawan saya. Saya janji, lain kali kita keluar makan tengahari sama-sama,”
“Betul ni?,” suara Zairul seakan tidak percaya.
“Betul,” dia membalas lagi.
“Janji?,”Zairul menagih janji.
“Ya janji,” dia kemudiannya memutus talian, setelah Zairul mengucapkan salam.

Syafina senyum sendiri, macam kanak-kanak la pulak Zairul ni, siap kena berjanji lagi. Tapi dia yang membuatkan Zairul jadi begitu. Bukan tidak pernah Zairul mengatur pertemuan, tapi dia yang selalu menolak. Dia senang dengan Zairul, walaupun tempoh perkenalan mereka belum pun mencecah satu bulan. Dan dalam tempoh itu, tidak pernah sekali pun mereka keluar bersama. Hanya berbalas mesej, dan sesekali Zairul menelefonnya. Walaupun berkhidmat di universiti yang sama, dia tidak pernah bersua muka dengan lelaki itu. Dia tahu Zairul mengenali dirinya, cuma dia tidak pernah tahu bagaimana rupanya orang yang bernama Zairul itu. Tidak terbayang rasanya. Hafiza selalu mengejeknya, mengatakan bahawa dia takut untuk menghadapi kenyataan. Gadis itu pernah juga menunjukkan gambar Zairul kepadanya, tapi cepat-cepat dipejamkan matanya rapat-rapat. Hafiza pun malas untuk melayaninya. Dia tahu Hafiza seakan berputus asa dengannya. Gadis itu yang bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan dia dengan Zairul, tapi dia selalu tidak serius tentang itu. Dan perkenalan mereka melalui telefon ini pun hasil kerja Hafiza juga. Masih diingat lagi beberapa minggu yang lepas, Hafiza meminta maaf daripadanya dengan tiba-tiba, tanpa sebab. Tak ada ribut, tak ada hujan, tsunami jauh sekali.

“Kau ni kenapa? Kau dah buat salah apa dengan aku sampai minta maaf macam ni? Kau patahkan cd My Girl aku ya?,”dia bertanya. Hafiza hanya menggeleng.
“Ha, aku tahu. Mesti kau dah tumpahkan kopi atas poster Lee Dong Wook aku lah ni. Kau tahukan susah payah aku berebut dengan Laila masa nak beli poster tu,” geleng lagi jawapan dari Hafiza.
“Habis tu? Kau bagi Go-cat lagi kat Memey?,” Syafina meneka lagi. Pernah sekali Hafiza memberikan makanan kucingnya kepada ikan guppy peliharaan Syafina. Mungkin tak sesuai, terkapai-kapai Memey, tinggal nyawa-nyawa ikan dah Memey yang memang semulajadi ikan itu. Nasib baiklah Memey tak arwah. Syafina dapat lihat Hafiza menggeleng lagi sambil menunduk.
“Habis tu apa?,” Dia malas nak meneka. Bosan.
“Aku bagi nombor fon kau kat Zairul,” perlahan saja dia menuturkannya. Takut benar dia jika Syafina melenting.
“What?,”kuat Syafina menjerit. Ha kan dah cakap.
“Kau ni memang saja nak menyusahkan aku tau. Entah kat mamat manalah kau bagi nombor fon aku,” Syafina membebel. Sakit hatinya dengan Hafiza, suka-suka saja menjaja nombor telefonnya. Dibuatnya Zairul tu mamat dari Bangla ke macamana? Tapi tak logik la pulak Zairul tu dari Bangla, sedap je nama Zairul tuh. Nama melayu tulen, lagipun takkan lah tak siuman si Fiza ni nak kenalkan aku dengan mamat bangla pulak. Iskh, dah ke mana-mana aku melalut ni.
“Aku minta maaf sangat, tapi Zairul tu memang betul-betul nak kenal dengan kau. Bagilah dia peluang. Berkawan je dulu, kenal hati budi,” Hafiza memberi cadangan. “Banyaklah kau punya hati budi. Bukan kau yang kena layan mamat tu, aku ni ha,” dia masih lagi tidak berpuas hati dengan Hafiza.
“Nanti kalau dia telefon, kau layanlah elok-elok kawan aku tu,”
“Tak nak,” Syafina membalas selamba.
“Tak baik tau Syafi. Orang tu ikhlas nak kenal dengan kau,”
“Tak nak,” masih sama jawapan dari Syafina.
“Mak aku cakap, tak baik hampakan perasaan orang,”
“Tak nak,” lagi meleret ucapan ‘tak nak’ daripada Syafina. Aku lastik juga mulut minah ni dengan getah rambut baru dia tahu. Syafina masih lagi memusing-musingkan handsetnya sambil matanya menghala ke arah televisyen yang menyiarkan cerita bersiri korea ‘Bad Love’. Tiba-tiba telefon bimbit tersebut berbunyi. Akibat terkejut terus terlepas dari tangan Syafina, lalu jatuh ke atas ribanya. Dilihatnya nombor itu, tiada dalam simpanannya. Dia gelisah.
“Fiza, aku rasa ni kawan kau tulah. Tolong la angkatkan untuk aku,” dia sudah tidak senang duduk.
“Tak nak,” Hafiza membalas. Macam kenal je ayat!
“Tolonglah Fiza,” Syafina masih mencuba.
“Tak nak,” tersengih-sengih Fiza menjawab. Syafina mencapai kusyen untuk dibalingnya ke arah teman serumahnya itu. Tapi Fiza lebih pantas berlari menuju ke biliknya. Iskh, apa aku nak buat ni. Nak jawab ke tak nak? Tenang Syafi, tenang. Dengan ucapan Bismillah dia menekan punat hijau.

Lamunannya terhenti apabila telefonnya sekali lagi mengalunkan lagu ‘Lelaki Ini’ nyanyian Anuar Zain. Dilihatnya di skrin, tertera ‘Perempuan Itu’. Ini mesti kerja Hafiza. Ditekan punat hijau.
“Wei, kau kat mana lagi ni Syafi?,”bergema suara Hafiza. Kalau tak korek telinga 2 minggu pun sure boleh dengar lagi dengan jelas jeritannya itu.
“Kalau ya pun bagilah salam dulu, minah,”
“Hehe assalamualaikum, Cik Syafi. Cik Syafi kat mana ni?,” terus bertukar sopan suara Hafiza.
“Aku kat ofis lagi,”
“Cepatlah sikit, kitaorang tunggu kau kat BB Seafood. Aku ada surprise untuk kau,” serentak itu terus talian dimatikan oleh Hafiza. Sengal betul. Belum sempat apa-apa dia matikan talian. Hampeh punya kawan. Kitaorang? Siapa pulak dengan Fiza? Kak Zam kot. Selalu juga dia makan dengan kawan-kawan satu jabatan Hafiza. Tapi Fiza cakap pasal surprise. Surprise apa ya? Birthday aku lagi 8 bulan, 6 hari, 16 jam, 32 minit. Takkan dah nak bagi hadiah kot? Malas mahu menyerabutkan otak, dia mencapai gugusan kunci kereta di atas meja.


Sebaik tiba di BB Seafood, dia terus melangkah masuk. Pantas Hafiza mendapatkannya, menarik lengannya mendekati sebuah meja yang telah dihuni oleh seorang lelaki yang membelakanginya dan seorang lagi Kak Zam.
“Hai kak Zam,” Syafina menegur Kak Zam. Kak Zam hanya tersenyum sambil mengangguk. Dipandang sekilas lelaki yang masih membelakanginya, rasanya dia tidak pernah mengenali lelaki ini. Kawan satu jabatan Hafiza agaknya.
“Syafi, ni aku kenalkan kawan aku, Zairul,” pantas Syafi berpaling. Ke arah Hafiza, minah itu hanya tersengih-sengih dan cepat pula dia berpaling ke arah Zairul. Zairul sudah berdiri. Alamak!
“Zairul a.k.a your mamat kidal,” perlahan Hafiza berbisik ditelinganya. Hantu punya kawan. Dia dah tahu yang Zairul ni mamat kidal comel tu, saja nak kenakan aku. Patutlah beria benar nak kenalkan aku dengan si Zairul ni.
“Hai awak,” Zairul menyapanya.
“Hai,” bergetar suaranya. Nak senyum pun tak jadi senyum. Sungguh dia tidak menduga ini surprise daripada Hafiza. Memang terkejut beruk dia. Langsung tidak bersedia menghadapi kemungkinan yang satu ini. Depertemukan dengan Zairul, face to face. Tidak tahu bagaimana untuk beriaksi, kalau dalam telefon Zairul tidak nampak mukanya, ini berdepan, mana mahu sorok muka. Dahlah depan si Fiza ni, dengan Kak Zam lagi.
“Ai, nak makan sambil berdiri ke?,” Hafiza penat melihat mereka berdua, sorang duk tersenyum-senyum, sorang lagi muka merah sampai tak tahu macamana nak senyum. Syafina menjeling Hafiza, tajam. Jaga kau Fiza, balik rumah siap kau. Aku gunting baju tidur Lonney Tunes kesayangan kau tu. Dia melangkah merapati meja. Fiza dan Kak Zam sudah mengambil tempat sebelah menyebelah. Nak tak nak, dia terpaksa duduk di sebelah Zairul. Ni pun mesti awal-awal lagi akalan tunang Mikail ni, memang tidak dapat disangkalkan lagi. Di tarik kerusi perlahan. Tiba-tiba perbuatannya terhenti, apabila kerusi itu seperti ditolak kembali.
“Awak, tempat awak belah sini. Takkan dah lupa kot,” Zairul menarik kerusi sebelah kanan untuknya, manakala lelaki itu melabuhkan punggungnya di sebelah kiri Syafina.
“Baru tak accident,” Zairul menambah. Syafina mengangkat muka, merenung Zairul yang masih tersenyum. Alamak, comellah pulak. Kalau aku tahu Zairul kawan si Fiza ni orang yang sama dengan mamat kidal tu, dah lama dah aku setuju dengan cadangan Fiza nak kenenkan kami.
“Kak Zam, kita order dulu lah. Dua orang ni dah kenyang agaknya dengan aksi menjeling-menjeling ku bertentang. Mata kita sama memandang,” nyanyian Hafiza yang tidak berapa sedap itu membuatkan Zairul dan Syafina tersentak. Syafina merenung Hafiza, dengan penuh ‘kasih-sayang’. Hampeh punya kawan. Tak habis-habis nak kenakan aku. Tapi dia perlu berterima kasih kepada Hafiza. Kerana minah tersebut, sepanjang waktu makan tengahari, dia tersenyum. Maklumlah, kat sebelah ada mamat kidal yang sangat comel.

3 comments:

the sedo gang said...

hak3...
cute sey~
tp...
x kn dye mkn ngn tgn kiri gak!
haw3...

Ayie Iwaniey said...

kalo mkn pakai sudu, memang still guna tgn kiri. kalo mkn pakai tgn tu len citer la kan..sure guna tgn kanan...

sabiqahT.Anuar said...

hahahah cumelsssss...BTW, cita ni da masuk blog cerpen.blogspot tu da ke???

good luck!