Monday, February 9, 2009

WARKAH RINDU BUATMU

Fail yang memuatkan warkah untuk arwah Hana yang ditaipnya beberapa hari lalu di buka lagi untuk ke sekian kalinya. Ditatap skrin yang memaparkan bait-bait ayat yang telah lekat dimindanya. Dia ingin membacanya lagi, biar hatinya tenang, biar perasannnya lega, walaupun beratus kali pun dia tidak akan jemu. Dia menarik nafas panjang, lalu dihembusnya perlahan-lahan.

Buat Hana sahabatku,
Sedar tak sedar, sudah hampir setahun kau tinggalkan kami. Setahun, Hana. Setahun yang aku rasa macam berdekad-dekad lamanya. Setahun yang sangat sepi tanpa kau disisi, dan aku tak tahu adakah aku mampu untuk menghadapi ‘setahun’ yang ngeri ini pada masa akan datang. Tak sanggup rasanya. Tapi aku tiada pilihan, Hana. Walau apa pun yang terjadi, kau tetap tak akan kembali. Dan yang tinggal, hanya aku sendiri, keseorangan meratapi nasib diri.

Hana,
Seronok sangat waktu aku imbas kembali setiap peristiwa yang berlaku sepanjang lebih 13 tahun perkenalan kita. Terlalu banyak. Salah satunya, waktu kat rumah sewa di Bangi. Kau suka sangat makan megi telur yang aku masak. Bila aku suruh kau masak, kau kata tak sedap. Bila aku ajarkan kau cara-caranya, kau kata nanti tak sedap macam aku masak. Cekap betul kau cari alasan. Padahal, masak megi je Hana, benda yang paling simple.

Tu belum kira waktu kau merempit lagi, helmet kau punya la ‘ayu’, warna pink, konon nak jadi San Chai dalam Meteor Garden tu, tapi bawak motor macam pelesit. Aku rasa Dau Ming Si pun takut nak dekat. Aku dah serik dah jadi pembonceng kau. Cukuplah hanya untuk 3 bulan. Mungkin tak tahan dengan leteran aku, papa belikan kau kereta. Aku seperti biasa, tatap jadi peneman setia kau. Tu pun tetap lagi merempit, tapi okeyla kan, takdela rasa bahaya macam naik motor.

Paling aku tak boleh lupa, waktu kau buat aksi ‘stuntwomen’ waktu sukan tahunan sekolah. Konon nak tunjuk bagus dan terrer kan, padahal itulah kali pertama dalam seumur hidup kau buat aksi lompatan kijang. Dengan bergayanya kau lari, laju pula tu, tapi yang aku pelik kan, orang lain lompat ke depan, kau pulak lompat ke belakang, siap berguling-guling ala Mahduri Dixit dalam Dil Tu Pagal Hai lagi. Hairan betul aku. Aku pun tak tahu gaya apa yang kau buat, jaguh mana dalam tv yang kau tiru. Dan yang paling aku tak tahan, muka ‘haru-biru’ Cikgu Seman yang tengah mencekak pinggang, menunggu kau berdiri selepas kau menyudahkan aksi kau yang sangus ‘fuyoo’ itu. Waktu tu baru aku perasan, kasut kau sebelah kiri dah ada kat tangan dia, dan aku boleh nampak kepala Cikgu Seman yang selalu ‘licin’ sampai boleh dijadikan cermin tu, ada calar sikit. Hahaha.. kelakar-kelakar. Kau pulak, tersengih-sengih macam kerang busuk. Waktu tu juga aku rasa macam nak guling-guling saja kat tengah padang tu, tapi kan aku takut, tak pasal-pasal kasut kanan kau pula yang melayang ke kepala aku. Lagi haru jadinya. Aku rasa, sampai sekarang aksi kau tu akan jadi satu-satunya aksi terbang yang terbaik dalam sejarah sekolah kita. Dah hampir sepuluh tahun dah benda tu berlalu, rasa macam semalam je ianya berlaku. Sungguh, aku rindukan waktu itu.

Hana…
Aku paling tak suka kalau kau sakit. Penat! Macam-macam kau suruh aku masak. Pernah sekali tu, kau minta tolong aku masakkan kau bubur ayam. Sebagai seorang kawan yang baik, aku pun sediakan bubur ayam untuk kau. Bila aku hidangkan untuk kau, kau cakap teringin nak makan puding caramel la pulak. Adoi Hana. Nasi baik kau tengah terbaring kat katil, kalau kau sihat macam biasa, dah lama dah kau kena lesing agaknya. Yang aku tambah geram tu, siap nak suruh suapkan la pulak. Alasan kau, tangan sakit, lenguh-lenguh. Padahal aku tengok esoknya elok saja kau sental tayar motorsikal kau tu. Geram betul aku, satu rumah aku kejar kau. Habis basah baju kau aku sembur dengan air sabun, padan muka. Siapa suruh kau kenakan aku. Seronokkan waktu tu, main air tak ingat dunia, macam kanak-kanak sekolah tadika.

Temanku Hana,
Aku masih ingat lagi, waktu hari konvokesyen kita 3 tahun lalu, kau merajuk dengan mama. Mama ‘halau’ kau, sebab mama nak tangkap gambar dengan aku berdua saja. Lucu betul ekspresi wajah kau waktu tu, siap tanya lagi mama, siapa anak mama sebenarnya. Aku tak ambil hati pun, sebab aku tahu kau hanya bergurau. Dan selepas itu, sakan kita bergambar dengan Ayuni dan Fisha. Dan abang Kimi juga.

Em, bercakap pasal abang Kimi, ingat lagi tak, waktu kau suruh abang Kimi jadikan aku sebagai isterinya, saat itu perkahwinan korang baru berusia 4 bulan? Masih terngiang-ngiang lagi kat telinga aku, macamana marahnya Abang Kimi waktu itu. Sungguh, aku tak pernah nampak dia marah sampai sebegitu sekali sebelum ni. Kau tau kan abang Kimi tu, cool memanjang, mana tau nak marah. Seminggu jugak dia merajuk dengan kau, dan akulah yang menjadi mangsa, jadi orang tengah kalian. Aku pun terkejut waktu kau utarakan pendapat kau yang sangat ‘bernas’ tu pada dia. Tak pasal-pasal aku yang jadi orang tengah korang selama seminggu. Boleh tahan gak rajuk abang Kimi.

Hana yang aku sayangi,
Di hari perkahwinan korang, aku mintak maaf sangat-sangat. Masa tu aku bukan sengaja tak nak datang, tapi aku tak mampu. Aku tak mampu nak menjadi saksi persandingan sahabat baikku dengan seorang lelaki yang sangat aku cintai, satu-satunya lelaki yang mampu mengusik hati wanita aku. Aku tahu perasaan itu salah, Hana. Aku sendiri pun tak pasti bila perasaan itu datang. Saat aku ingin bercerita kepada kau tentang perasaan aku pada abang Kimi, kau lebih dulu menunjukkan sejambak mawar yang dihadiahkan oleh abang Kimi kepada kau. Dan saat kau mula bercerita tentang lamaran abang Kimi yang telah kau terima, aku cuba untuk terus mengukir senyuman dan mengucapkan tahniah, sedangkan dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa remuknya hati aku ketika itu Hana. Hancur. Abang Kimi lelaki pertama yang mampu membuatkan aku jatuh cinta, Hana. Aku minta maaf. Memang tak sepatutnya aku mempunyai perasaan pada seorang lelaki yang bakal menjadi suami rakan karib aku sendiri. Kawan apa aku ni, Hana. Sanggup buat macam tu. Jahat kan aku, tapi aku sumpah, cinta aku pada abang Kimi telah aku kuburkan di saat abang Kimi melafazkan akad pada kau. Kau sahabat aku Hana, aku tak rela kehilangan kau. Biar sepuluh abang Kimi datang sekalipun, aku tetap pilih kau, kerana hanya kau yang aku ada, hanya kau yang memahami aku.

Hana,
Aku terkilan sangat, kenapa aku ditakdirkan tiada di sisi kau waktu kau menghembuskan nafas terakhir. Sungguh, kalau aku tahu, aku takkan pergi seminar kat Langkawi tu. Aku sanggup mintak En Izham gantikan aku. Tapi kan Hana, aku tahu.. Semua tu Allah dah tetapkan sejak mula lagi..siapalah kita nak mengubahnya kan.. Saat aku menjejakkan kaki di rumah papa, hanya tubuh kaku kau yang menyambut aku. Juga wajah sendu mama dan papa, serta seraut wajah lesu tak bermaya abang Kimi, mendukung seorang bayi yang tidak berkesempatan untuk mengenali ibu kandungnya. Waktu tu, tiada lagi wajah ceria kau, tiada lagi suara kau yang riuh bercerita itu ini setiap kali kunjungan aku ke rumah papa.

Dia berhenti seketika. Di seka perlahan airmata yang merembes di pipi. Semakin dikesat, semakin laju pula air jernih itu mengalir di pipinya. Begitulah yang berlaku setiap kali dia membaca surat itu. Setelah agak tenang, dia menyambung kembali.

Setiap kali aku pandang muka Aleya Farhana, pasti aku teringat kat kau. Muka dia memang iras sangat dengan muka kau. Fotostat! Dari mata kau yang sepet tu, hidung kau yang kecil, sampailah bibir comel kau itu. Cuma satu yang diwarisi daripada abang Kimi, iaitu sepasang lesung pipit. Kau pun mesti ingat kan , lesung pipit Abang Kimi lah yang membuatkan kau terbayang-bayang dulu. Sekarang ni, anak kau pun ada daya tarikan yang sama. Dua-dua belah pulak tu. Comel sangat!

Hana Dahlia,
Kau beruntung kawanku, sebab abang Kimi sayang sangat-sangat dekat kau. Aku tahu dia rindukan kau. Selalu aku tengok dia termenung. Dan pernah juga sekali, aku ternampak dia asyik merenung gambar kau. Lama dia peluk gambar kau, Hana. Aku tak cemburu, langsung tiada, tapi aku sedih. Aku tahu, walau macam mana sekalipun aku tetap tak dapat gantikan tempat kau dalam hati dia. Kau tetap paling atas Hana, sentiasa agung dalam hatinya.

Bersemadilah dengan aman sahabatku, sesungguhnya aku redha dengan pemergianmu. Moga kau tenang di sana.

“ Surat untuk Hana?”terus dia berpaling menghadap tubuh badan empunya suara itu. Pantas tangannya menekan ikon pangkah. Sungguh dia tidak menyangka Hakimi ada dibelakangnya ketika itu. Dah berapa lama Hakimi berdiri dibelakangnya? Nampakkah Hakimi akan isi kandungan surat itu? Persoalan itu terus berlegar-legar dalam fikirannya. Dia mengerling sekilas ke arah Hakimi, dan dapat dirasakan mata Hakimi masih merenungnya tajam. Untuk melegakan perasaan itu, dia bangkit dari kerusi, ingin menuju ke balkoni. Belum sempat kakinya melangkah, terasa pergelangan tangannya dipagut, lembut tapi kemas. Dia berpaling. Menunggu apa yang ingin dikatakan oleh lelaki di depannya itu.
“We need to talk”. Tegas suara itu memberikan arahan. Shazreen hanya mengganguk. Tiada guna melarikan diri. Dia tahu, lambat laun perkara ini mesti dibincangkan juga. Dia berpaling menghadap Hakimi, menunggu butir bicara yang akan keluar dari ulas bibir suaminya itu.
“Kenapa Reen tulis macam tu?” tenang suara Hakimi mengutarakan soalan. Shazreen hanya membisu, tidak berniat untuk menjawab. Sekilas, matanya dilirikkan ke arah Aleya yang sedang lena tidur di dalam baby cot nya disudut bilik.
“Jawab soalan abang, Reen” Shazreen masih lagi diam.
“Betul ke?”lagi soalan keluar dari mulut suaminya. Apa yang betul? Hairan sungguh dia dengan perlakuan suaminya hari ini. Suka buat orang tertanya-tanya.
“Sejak bila Reen jadi diam macam ni?” Hakimi sudah hilang sabar.
“Sejak abang juga jadi seorang yang pendiam bila berdepan dengan Reen. Sejak abang anggap Reen seolah-olah tidak pernah wujud depan abang. Sejak abang...”tidak sempat dihabiskan ayatnya, bila Hakimi pantas memotong.
“Reen, abang tak pernah pun anggap Reen macam tu. Tidak sesekali. Kenapa Reen tak bagi tau perasaan Reen pada abang?”
“Buat apa? Tak penting pun”
“Penting Reen. Kalau abang tau Reen sukakan abang, abang akan…”
“Abang nak buat apa, ketawakan Reen, sebab jatuh cinta pada abang? Ketawalah, abang. Reen tak kisah”
“Apa yang Reen nak sampaikan ni sebenarnya?”
“Sudah la, abang. Benda dah lama berlalu. Reen dah lupakan tu semua”
“Tidak, Reen. Kita kena bincang. Abang tahu Reen tak pernah lupakan itu semua. Kalau lupa, kenapa Reen tulis surat pada Hana, mengadu pada yang sudah tiada. Abang ada kat sini. Reen boleh ceritakan apa saja pada abang”. Shazreen hanya tersenyum sinis. Siapakah Hakimi untuk dia berkongsi cerita. Kawan? Bukan, Hakimi adalah suaminya. Suami yang tak pernah cintakan dirinya. Dia pasti itu.
“Reen, dengar dulu apa yang abang nak cakap, lepas tu baru kita putuskan apa yang kita perlu lakukan seterusnya” melihatkan isterinya yang seolah-olah berperang dengan perasaannya sendiri, Hakimi pantas menarik Shazreen supaya duduk di birai katil. Syukur, isterinya hanya menurut. Lantas dia turut sama melabuhkan punggungnya di sebelah Shazreen.
“Abang nak Reen tau, abang kahwin dengan Reen bukan semata-mata sebab wasiat Hana. Juga bukan sebab nak carikan mama untuk Aleya. Abang memang sayangkan Reen dari dulu” Shazreen mendongak, menagih jawapan bagi kata-kata Hakimi. Hakimi menarik nafas, agak panjang, sebelum menyambung kata-katanya.
“Abang dah lama jatuh cinta dengan Reen, awal dulu sebelum hati abang terpaut dengan Hana. Tapi abang tak pasti adakah Reen pun mempunyai perasaan yang sama dengan abang. Abang pendamkan apa yang abang rasa, sebab abang tak punya keberanian untuk menyatakannya pada Reen. Masa tu abang nampak Reen bahagia dengan Fakhrul”.
“Reen dengan Fakhrul hanya kawan, Reen tiada perasaan pun terhadap dia”.
“Tapi dia ada perasaan terhadap Reen. Semua orang boleh nampak Reen. Dan dalam waktu yang sama, papa jumpa abang, minta abang jadikan Hana sebagai isteri. Papa percaya, abang boleh bahagiakan Hana” Shazreen mengerutkan dahi, sedikit keliru. Itukah yang sebenarnya berlaku?
“Tapi, papa tak pernah paksa abang. Dia serahkan kepada abang untuk buat keputusan. Berkali-kali abang buat sunat istikharah. Setelah yakin yang Hana memang jodoh abang, abang janji pada diri sendiri abang harus lupakan Reen. Mungkin Reen bukan jodoh abang, tapi ternyata jodoh kita tetap kuat”. Hakimi berhenti seketika. Dipandang raut wajah isterinya. Isteri yang sangat dicintainya.
“Abang tak pernah mengkhianati Hana, Reen. Abang sumpah selepas abang lafazkan akad tu, abang berazam untuk cuba mencintai Hana, dan setelah abang hampir berjaya, Allah ambil dia dari abang. Abang tak bermaksud nak perbodohkan Hana, Reen, papa dan mama atau sesiapapun. Dan buat pengetahuan Reen, Hana tahu abang cintakan Reen.” Jelas wajah terkejut Shazreen mendengar pengakuan Hakimi.
“Hana tahu?” Hakimi mengangguk perlahan.
“Sebab itu dia suruh abang ambil Reen sebagai isteri, jadikan Reen sebagai madu dia. Abang takkan sesekali lakukannya, sebab abang takut abang tak berlaku adil pada korang berdua, terutamanya pada Hana”
“Oh, Hana” Kelopak mata Shazreen sekali lagi bergenang. Hakimi meraih bahu Shazreen, cuba memberikan semangat kepada isterinya.
“Menangis la Reen. Luahkan semua yang terbuku, kalau itu yang mampu membuatkan Reen tenang selepas ni” ucap Hakimi lagi. Shazreen mengangguk, jelas isterinya sedang menahan sendu. Dia boleh nampak penderitaan Shazreen dengan kehilangan Hana. Dia pun turut sama menderita, tapi dia tahu Shazreen lagi merasai kehilangan Hana. Ya, dia kehilangan isteri, tetapi Shazreen kehilangan seorang sahabat, seorang saudara, seorang teman yang dianggapnya seperti saudara kembarnya sendiri. Dia faham akan keperitan itu. Sangat-sangat arif.
“Abang tahu selama ni, perlakuan abang yang membuatkan Reen jauh dengan abang. Abang tak tahu apa yang ada difikiran Reen. Satu yang abang agak, Reen terpaksa kahwin dengan abang sebab wasiat Hana, dan juga rasa tanggungjawab Reen terhadap Aleya.”
“Reen tak pernah fikir macam tu. Reen rela kahwin dengan abang” Hakimi mengeratkan pelukan terhadap isterinya.
“Abang dah jadi milik Reen sekarang ni. Kita bina hidup baru, kita besarkan Aleya dengan sebaik-baiknya. Dalam tak sedar kita abaikan dia. Abang tahu Reen memang sayangkan Aleya macam anak Reen sendiri. Abang nampak itu. Abang minta maaf kalau selama ini, perlakuan abang membuatkan Reen rasa tersisih. Abang langsung tak bermaksud nak abaikan Reen, cuma abang tak yakin dengan diri abang sendiri. Sudahlah Reen, kita lupakan apa yang telah berlaku dan kita buka buku baru. Kita dah sia-siakan lebih 4 bulan tempoh perkahwinan kita. Bagi abang, Hana ada lah kenangan, Reen pula realiti yang ada kat depan abang nih. Abang janji, abang akan bahagiakan Reen sebagaimana sepatutnya Reen bahagia, dan abang harap Reen boleh bantu abang untuk sama-sama mempertahankan rumah tangga kita ini.
“Abang, esok kita ziarah kubur Hana, ya. Dah setahun dah rupanya Hana tinggalkan kita”
“Abang tahu, sayang. Abang akan sentiasa ingat tarikh tu. Detik abang berbahagia dengan kelahiran Aleya, dan tarikh yang sama Allah tarik Hana dari sisi abang. Hari yang sama Reen”.Shazreen memeluk erat Hakimi, mengusap perlahan rambut suaminya itu. Dia menyedari tentang satu perkara, jika dia rasa dialah orang yang paling menderita dengan kehilangan Hana, Hakimi lebih lagi. Hakimi kehilangan isteri, sekaligus kehilangan ibu kepada anaknya. Dia patut sedar tentang itu.
“Abang, Reen minta maaf” Hakimi mendonggakkan kepalanya, tapi masih lagi belum meleraikan pelukan terhadap isterinya. Memandang muka isterinya lembut, menagih jawapan.
“Reen minta maaf, sebab abaikan perasaan abang selama kita kahwin. Reen ingatkan Reen saja yang paling sedih. Reen tak sedar, perlakuan Reen membuatkan abang lagi terbeban”.
“Sudahla Reen, semua dah berlalu. Benda dah nak jadi. Sekarang ni, kita teruskan kehidupan kita. Cukupla setahun yang dah berlalu ni. Kita mulakan hidup baru. Kita doakan Hana tenang di sana Reen. Malam esok kita buat tahlil untuk arwah Hana, sambil-sambil tu boleh buat kenduri kesyukuran untuk hari jadi Aleya” Hakimi menuturkan cadangan. Shazreen hanya mengangguk. Tidak berniat untuk berkata-kata. Cuma hatinya berbicara: Terima kasih Hana, untuk kebahagiaan yang kau hadiahkan ini. Kau tetap sahabatku dunia akhirat.

No comments: